Thursday, September 6, 2007

Memajukan pengeluaran makanan organik

Oleh Azman Anuar(Wartawan Utusan)

Walaupun pengeluaran hasil eksport Malaysia banyak bergantung pada barangan elektrik dan elektronik, tetapi negara kita perlu terus mengeluarkan barangan berasaskan pertanian untuk keperluan tempatan ataupun dipasarkan ke luar negara.

Apabila Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) dilaksanakan tahun depan, bermakna komoditi pertanian kita akan bergerak bebas dalam ASEAN dan persaingan dari segi pengeluaran bahan makanan juga akan bertambah.

Bagaimanapun kesedaran tinggi untuk menjaga tahap kesihatan dan memelihara alam sekitar sekarang, demi kesejahteraan rakyat dan negara dalam jangka masa panjang, bagaikan mendesak pasaran bahan makanan perlu kembali kepada aktiviti pertanian organik.

Kementerian Pertanian yang bertanggungjawab dalam sektor pengeluaran bahan makanan negara menyedari untuk mewujudkan aktiviti ladang organik secara satu sistem pertanian.
Sebab itu, jika kita tidak meningkatkan pengeluaran pertanian komersial secara konvensional, pengeluar bahan makanan di negara ini akan menghadapi persaingan pasaran yang sengit. Tetapi pertanian organik boleh membantu menyumbangkan ke arah berdaya saing sektor pertanian di negara ini.

Dengan itu ia patut diberi perhatian yang lebih serius dan berada dalam arus perdana pertanian negara ini.
Persoalannya bagaimana kita hendak mengklasifikasikan hasil pertanian itu sebagai organik atau menggunakan bahan-bahan kimia. Ini kerana selama ini, kita tidak membentuk sistem pemantauan yang membolehkannya diiktiraf sebagai organik. Ada ciri-ciri tertentu yang harus dipatuhi sebelum sesuatu ladang itu boleh dianggap sebagai organik. Misalnya penggunaan amalan pertanian yang baik dengan menggunakan kompos, sisa baki pertanian, baja organik untuk pengeluaran tanaman, pengawalan perosak dan penyakit dijalankan secara amalan kultura, pengurusan biologi dan penyelenggaraan ladang diusahakan di bawah sistem perladangan organik.

Menurut Menteri Pertanian, Datuk Dr. Mohd. Effendi Norwawi ketika merasmikan Seminar Skim Persijilan Perladangan Organik di Kuala Lumpur semalam, negara kita kaya dengan sumber alam semula jadi yang boleh dimanfaatkan sebagai input untuk perladangan organik.
Sebagai contoh katanya, hasil buangan tandan kosong kelapa sawit, jerami padi dan buangan bahan tanaman lain boleh dikitar semula sebagai kompos dengan menggunakan mikroorganisma tempatan dan digunakan sebagai bahan input dalam perladangan organik, dengan syarat ia menepati piawaian yang ditetapkan.

``Di sinilah pihak kerajaan boleh dan sedang memainkan peranan yang aktif dengan menggubal standard perladangan organik yang diterima oleh masyarakat antarabangsa dan seterusnya melaksanakan Skim Persijilan Ladang Organik (SPPO),'' katanya.
Dengan sumber dan faktor yang sedia ada, negara ini boleh memajukan perladangan organik. Faktor Pertama dari segi sumber tanaman, terdapat 400,000 hektar ladang atau kebun diusahakan oleh petani di kampung yang tidak menggunakan baja atau racun kimia seperti tanaman rambutan dan manggis. Melalui usaha yang minimum, kebun-kebun ini boleh dijadikan ladang organik.

Faktor kedua, piawaian perladangan organik MS 1529 (Standard Malaysia bagi Pengeluaran Bahan Makanan Berasaskan Organik) telah digubal dan diguna pakai. Dokumen ini menghurai piawaian yang patut diikuti untuk perladangan organik seperti pengeluaran, pemprosesan, pelabelan dan pemasaran.

Faktor ketiga ialah teknologi Natural Farming (perkebunan semula jadi). Dengan menggunakan mikroorganisma dan bahan buangan tempatan yang senang diperoleh, ia akan dapat mengurangkan kos pengeluaran dan membolehkan bahan makanan organik dijual pada harga yang mampu dibeli oleh kebanyakan pengguna.

Mengikut Jabatan Pertanian, pengusaha pertanian yang menepati piawaian MS 1529 akan diiktiraf dan menerima sijil SPPO. Piawaian ini menggariskan keperluan yang berkaitan dengan pengeluaran, pemprosesan, penyimpanan, pengangkutan, melabel dan pemasaran bahan makanan organik.

Pengeluar bahan makanan yang mendapat skim persijilan ini akan memperoleh faedah berupa hak menggunakan logo `Malaysian Organic' atau `Organik Malaysia' pada produk mereka.
Dengan label ini, produk tersebut boleh dipasarkan sebagai produk organik dengan harga yang setimpal.
Pengguna juga memperoleh faedahnya dengan mendapat keyakinan bahawa produk yang mempunyai logo tersebut telah mematuhi piawaian organik negara MS 1529. Satu perkara yang perlu ditekankan ialah perladangan organik tidak akan menggantikan perladangan secara konvensional. Ia patut dilihat sebagai alternatif kepada hasil keluaran dari perladangan konvensional.

Bagi menjayakan usaha ini, isu-isu seperti kemudahan pinjaman, pemasaran, penyelidikan dan pembangunan serta pendidikan pengguna perlu diselesaikan supaya ia boleh membawa kepada kemajuan perladangan organik.

No comments: