Thursday, September 6, 2007

Selesaikan pertikaian pengharaman parakuat

Oleh Laupa Junus (wartawan Utusan)

Dengan pendapatan antara RM400 dan RM600 sebulan, pekebun kecil yang jumlahnya dianggarkan 700,000 kini perlu mengusahakan tanaman komoditi tanpa penggunaan parakuat (racun rumpai) seperti mana yang dikehendaki oleh kerajaan. Isu pemberhentian penggunaan parakuat untuk pertanian dibangkitkan sejak hampir setahun lalu.
Tidak ada rekod yang jelas bagi menunjukkan berapa banyak kos diperlukan untuk menggunakan racun parakuat dalam keseluruhan kos pengeluaran pertanian.
``Bagaimanapun secara purata umur pekebun kecil ialah 60 tahun. Tidak mungkin mereka turun menebas membersihkan kawasan kebun menggunakan sabit atau parang,'' kata Presiden Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil (NASH), Datuk Mazlan Jamaluddin.
Menebas hanyalah satu pilihan terakhir bagi mengelakkan peningkatan kos kerana racun lain dikatakan berharga tiga kali ganda lebih tinggi.
Justeru beliau bimbang, dengan desakan yang kuat dan tidak ada pilihan lain, pekebun kecil mungkin terpaksa menggunakan racun-racun parakuat yang diperoleh dari pasaran gelap.
Kata beliau 60 peratus kos pengeluaran pekebun kecil bersumberkan tenaga buruh dan 98 peratus pekebun kecil menggunakan racun parakuat. Fakta-fakta tersebut katanya amat membimbangkan beliau terutama dengan tanda-tanda parakuat kini dikawal dan menuju kepada kemungkinan ia diharamkan.
Sedangkan katanya, parakuat sudah menjadi rakan pekebun kecil sejak 40 tahun lalu. Racun ini seolah-olah sudah menjadi tools of trade yang mempertahankan ekonomi pekebun kecil. Justeru agak sukar bagi pekebun kecil menukar kepada alternatif kawalan rumpai melainkan terpaksa menggunakan sabit.
Beliau juga bimbang pengharaman parakuat menjejaskan produktiviti pekebun kecil dan meningkatkan kos pengeluaran.
Menurut Mazlan yang menjadi jurucakap kepada tiga persatuan yang meminta kajian semula pengharaman parakuat, satu kajian yang dibuat oleh NASH, Persatuan Kelapa Sawit Malaysia (MPOA) dan Persatuan Pemilik Estet Malaysia (MEOA), pengharaman itu memungkinkan negara kerugian sehingga RM2.73 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang dan menjejaskan daya saing minyak sawit Malaysia di pasaran antarabangsa.
Kajian itu katanya yang bertajuk The Economic and Social Impact of a Paraquat Prohibition in Malaysia mendapati kerugian terkumpul itu berpunca daripada kos kawalan rumpai berjumlah RM1.57 bilion dan pengurangan hasil tanaman berjumlah RM1.16 bilion.
Pekebun kecil katanya, tidak lagi mampu bertahan dengan kos pengeluaran yang tinggi dan pada masa yang sama tidak ada pelapis daripada generasi baru.
Kata Mazlan, seolah-olah ada pihak cuba berselindung di sebalik isu ini. Siapakah yang beliau maksudkan?
Mazlan tidak menyebut atau menuding jari kepada sesiapa tetapi perbuatan yang menyebabkan pekebun kecil gelisah, tidak stabil akan menyebabkan pengeluaran bahan komoditi khususnya kelapa sawit boleh terjejas. Dan, langkah pengharaman parakuat itu mengundang masalah baru iaitu penyeludupan racun parakuat yang dikatakan telah meningkatkan kepada 10 peratus.
Beliau kecewa kerana keputusan Lembaga Racun Makhluk Perosak (LRMP) itu tidak diberitahu secara rasmi kepada pekebun kecil, khususnya NASH.
Mazlan mendakwa pada 27 Ogos tahun lalu LRMP mengeluarkan satu surat pekeliling supaya semua permohonan untuk mendaftar atau mendaftar semula parakuat ditolak manakala permohonan yang sedang dalam proses akan dihentikan. Pada masa yang sama produk yang didaftarkan sebelum itu diminta supaya dihabiskan.
Pada masa ini terdapat 113 pendaftaran racun parakuat dan pendaftaran semula yang diterima sehingga September 2005. Sebanyak 120 negara pula menggunakan racun tersebut, menunjukkan ia begitu meluas digunakan.
Beliau mendakwa, NASH cuba mengadakan dialog dan pernah membawa kira-kira 9,000 tandatangan menyatakan rasa tidak puas hati berhubung tindakan LRMP itu kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada November tahun lalu.
Sekiranya tindakan pengharaman parakuat itu bertitik tolak daripada isu penyalahgunaan parakuat yang dikatakan digunakan untuk membunuh diri, bukti kukuh perlu diberikan dengan fakta.
``Kalau boleh biarlah ada penilaian risiko kesihatan dibuat sebelum tindakan pengharaman diambil,'' katanya.
Pada masa yang sama, pengharaman itu membayangkan hak pengguna pekebun-pekebun kecil dinafikan kerana tidak ada perbincangan mengenainya dibuat sebelum tindakan diambil.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pertanian yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal LRMP, Dr. Zulkifli Kamaruzzaman menafikan kenyataan yang dibuat oleh NASH bahawa keputusan untuk mengharamkan parakuat tidak berasaskan kepada sains.
Sebaliknya keputusan untuk menamatkan pendaftaran parakuat adalah keputusan yang dibuat secara kolektif oleh LRMP yang ahlinya terdiri daripada beberapa agensi kerajaan berkaitan.
``Keputusan tersebut adalah selari dengan dasar semasa LRMP yang turut mendukung aspirasi dan tuntutan masa kini yang memerlukan racun perosak dikawal dan diurus secara berkesan selari dengan kehendak pembangunan lestari bagi menjamin keselamatan manusia dan perlindungan alam sekitar,'' katanya.
Malah menurut Dr. Zulkifli, keputusan pengharaman ini turut diperakukan oleh Kabinet. Beliau menjelaskan, cadangan untuk mengharamkan parakuat ini bukanlah perkara baru.
Dr. Zulkifli berkata, syor supaya racun perosak ini diharamkan telah mula dibangkitkan dalam mesyuarat LRMP sejak 1985 lagi.
Ia dibuat kerana parakuat adalah sejenis racun perosak yang sangat bahaya kepada manusia dan statistik kes keracunan yang dikumpulkan oleh Kementerian Kesihatan melalui kes-kes yang dimasukkan ke hospital kerajaan menunjukkan parakuat adalah kes racun perosak yang pa-ling banyak dilaporkan.
``Lebih malang lagi kebanyakan kes ini berakhir dengan kematian. Keadaan ini terjadi kerana parakuat tidak mempunyai penawar iaitu jika terminum walaupun dalam kuantiti yang sedikit seperti kurang satu pertiga sudu teh, parakuat akan meninggalkan kesan terbakar kepada mulut, tekak dan esofagus yang bersifat tidak boleh dipulihkan dan selalunya mangsa akan mati,'' katanya.
Meskipun LRMP menyedari bahawa parakuat banyak menyebabkan kes keracunan, ia masih tidak dapat diharamkan pada 1985 kerana mengambil kira beban pengguna. LRMP berpendapat bahawa parakuat masih tidak boleh diharamkan kerana langkah tersebut mungkin boleh meningkatkan kos pengawalan rumpai di ladang dan seterusnya boleh menyebabkan kos pengeluaran bahan tanaman tidak berdaya saing.
``Langkah bagi mengharamkan parakuat yang dibuat pada 27 Ogos tahun lalu telah mengambil kira faktor-faktor semasa,'' katanya.
LRMP masih berpendapat bahawa pengharaman parakuat yang dibuat sekarang tidak akan meningkatkan kos pengeluaran tanaman ladang kerana kini terdapat banyak racun rumpai alternatif yang boleh menggantikan parakuat.
Dr. Zulkifli menambah, kes keracunan parakuat yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan berkemungkinan besar hanyalah tip of the iceberg kerana hanya statistik kes keracunan yang dimasukkan ke hospital kerajaan sahaja dilaporkan.
Bagaimana pula dengan kes keracunan atau kematian yang dilaporkan ke hospital swasta atau tidak dilaporkan langsung? Ini termasuklah kesan buruk akibat penggunaan parakuat di kalangan pekerja ladang seperti kerosakan pada kuku dan kesan alahan pada kulit.
Bagaimanapun katanya, pengharaman parakuat tidaklah dibuat secara serta-merta. Sebaliknya penamatan pendaftaran parakuat dibuat secara beransur-ansur dan hanya akan tamat sepenuhnya pada Julai 2005. Keputusan ini diambil setelah mengambil kira masalah stok parakuat yang sedia ada di pasaran yang patut diberi masa untuk digunakan dan juga memberi masa yang mencukupi kepada para petani dan ladang-ladang untuk bertukar secara beransur-ansur menggunakan racun rumpai alternatif.
Selain Malaysia, beberapa negara lain turut mengambil tindakan yang sama bagi mengharamkan racun parakuat. Kini, dua pihak terbabit sudah menjelaskan fakta dan hujah masing-masing berhubung isu ini.
Adalah tidak wajar meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak, sedangkan pintu rundingan masih terbuka untuk kedua-dua pihak mewujudkan formula `menang-menang'.

No comments: