Oleh NORLIZAH ABAS
KAUM wanita yang bekerja sebagai penyembur racun perosak di ladang-ladang kelapa sawit di seluruh negara kini diancam oleh racun parakuat, demikian menurut penemuan kajian yang dijalankan oleh dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO), baru-baru ini.
Mereka yang merupakan penyumbang terbesar dalam aktiviti perladangan tidak menyedari bahawa kegiatan mencampur bahan racun sebelum menyemburnya boleh `membunuh' secara senyap.
Para pekerja ini sering mengadu keletihan, pening-pening, sukar bernafas, menghadapi masalah kulit, loya, radang mata, sakit kepala, sakit belakang, keracunan dan rasa terbakar pada faraj.
Selain itu, soal selidik yang dijalankan menunjukkan pekerja-pekerja mengalami pendarahan hidung, pengeluaran air mata, perubahan warna pada kuku, bengkak pada sendi serta kuku tertanggal.
Keadaan bertambah buruk jika mereka hamil kerana pendedahan pada racun boleh memberi kesan pada sistem pembiakan dan berpotensi untuk memusnahkan janin dalam rahim.
Ironinya, pasaran racun serangga meningkat stabil di peringkat kebangsaan dengan jualan mencecah RM245 juta pada tahun 1998 ketika wanita-wanita ladang merintih kesakitan dalam diam.
Ekoran daripada aduan tersebut, satu kajian dijalankan oleh Tenaganita Sdn. Bhd. dan Pesticide Action Network Asia dan Pasifik (PAN AP) mendedahkan beberapa isu kritikal yang memerlukan perhatian serius.
Penemuan hasil kajian menandakan kawalan penggunaan racun melalui Akta Racun Makhluk Perosak 1974 dan Akta Kesihatan dan Keselamatan Pekerja (OSHA) 1954 tidak begitu berjaya untuk membela nasib kaum wanita di ladang.
Sehubungan itu, dua NGO berkenaan mencadangkan penggunaan racun serangga parakuat di ladang-ladang di negara ini diharamkan sepenuhnya kerana kesannya amat membahayakan kesihatan.
Cadangan itu adalah hasil kata sepakat yang dicapai oleh Pengarah Eksekutif PAN AP, Sarojeni V. Rengam bersama-sama Pengarah Tenaganita, Dr. Irene Fernandez yang menjayakan kajian tersebut.
Kajian bertajuk Keracunan Akibat Penggunaan Racun Serangga Dalam Sektor Pertanian itu dijalankan terhadap penyembur-penyembur racun di 17 kawasan pertanian di Selangor, Perak dan Kedah.
Ketika melancarkan hasil penemuan kajian itu di Universiti Sains Malaysia (USM), baru-baru ini Sarojeni berkata, wanita terbukti berisiko tinggi terkena keracunan kerana tidak dilengkapi dengan peralatan sesuai.
Katanya, penemuan yang diperoleh mendapati, wanita-wanita tersebut terdedah kepada keracunan akibat penggunaan racun serangga perosak jenis organophosphate dan carbamate.
Kajian merangkumi soal selidik, pemerhatian terhadap contoh darah untuk plasma pseudo cholinesterase enzyme dan pemeriksaan kesihatan terhadap pekerja yang mengadu diserang simptom-simptom keracunan ketika bekerja di ladang.
Ujian darah yang dijalankan mendapati, terdapat penurunan pada aktiviti acetyl cholinesterase enzyme yang mengesahkan seseorang itu keracunan.
Penyembur-penyembur biasanya tidak berhati-hati dengan kandungan bahan kimia yang digunakan ketika mencampur racun yang hanya dikenali melalui nama tertentu, warna dan bentuk yang digunakan.
Racun boleh memasuki tubuh melalui pernafasan, tertelan, sentuhan pada kulit (paling biasa) dan terkena mata ketika terpercik atau tumpah.
Pekerja selalu mengadu bahawa alat yang biasa digunakan iaitu pam tangan sering bocor selain kurangnya penjagaan kesihatan atau alat bantuan kecemasan disediakan oleh pihak pengurusan estet.
Walaupun ada majikan yang menyediakan alat keselamatan pada pam, pekerja pula mengambil sikap sambil lewa termasuk tidak membasuh tangan selepas menggunakannya.
Selain kurang pengetahuan, mereka tidak dapat membaca arahan pada label racun sama ada dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.
Penemuan juga mendedahkan bahawa mereka hidup dalam serba kekurangan terutama dari segi perubatan yang sepatutnya disediakan oleh pihak estet.
Ini ditambah pula bahawa penyembur yang kebanyakan terdiri daripada kaum wanita India memperoleh gaji purata RM14.60 sehari.
Selain itu, pengurusan estet gagal menyediakan latihan tertentu untuk membolehkan pekerja-pekerja ladang berhati-hati ketika mengendalikan racun serangga. Keadaan menjadi bertambah buruk jika peralatan yang digunakan bocor dan kemudian disimpan di kawasan rumah.
Sehubungan itu, kerajaan digesa melatih pegawai-pegawai perubatan untuk mengenal pasti dan merawat mangsa keracunan pada peringkat awal serta mengkaji penggunaannya dengan lebih berkesan.
Tindakan untuk mengurangkan atau mencegah terkena keracunan akibat penggunaan racun serangga memerlukan beberapa pendekatan antaranya:
- Mengharamkan sepenuhnya penggunaan parakuat atau dikawal selia dengan ketat
- Maklumat berkenaan isi kandungan racun boleh didapati dengan mudah
- Pekerja yang berisiko wajar diberi amaran agar berhati-hati selain diberi kuasa untuk mempertahankan hak masing-masing
- Penjagaan perubatan dan kesihatan yang mencukupi disediakan di estet
- Undang-undang sedia ada disemak semula agar pengendalian racun lebih berkesan
- Kawalan yang lebih berkesan dan kerap bagi memastikan peraturan dipatuhi
- Pengguna-pengguna racun serangga dilatih untuk mengendalikan racun dengan cara yang betul
Kajian yang dijalankan itu walaupun tidak lengkap sepenuhnya adalah satu percubaan untuk mendokumentasikan tahap kesihatan berkaitan dengan masalah penyembur-penyembur racun di kalangan pekerja wanita di ladang-ladang seluruh negara.
Penemuan ini membangkitkan isu-isu yang kritikal mengenai keselamatan dan kesihatan pekerja yang semestinya memerlukan pengkajian mendalam dan pemeriksaan teliti.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment