Oleh: ZAINI RABAN
TAIPING 31 Ogos – Muhammad Shahmil Izwan Ahmad Shokri, 14, pelajar Sekolah Menengah Agama Addiniah di Changkat Jering dekat sini yang kini koma kerana terminum racun rumpai Isnin lalu dipercayai dianiaya rakan seasramanya sendiri.
Abang kembarnya, Muhammad Shauqi Izuan, 14, mendakwa, sebelum kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, adiknya dipanggil oleh seorang rakan ke bilik asrama atas alasan hendak mengemas pakaian.
Dia yang pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa terus menuju ke kelas bersama rakan-rakan lain untuk mengulangkaji pelajaran seperti biasa.
Bagaimanapun, katanya, dia terperanjat apabila diberitahu seorang rakan lain bahawa adiknya itu terminum racun di bilik asrama.
Menurutnya, dia terus bergegas keluar menuju ke asrama dan terserempak rakan yang memanggil Muhammad Shamil Izwan untuk mengemas pakaian.
‘‘Pelajar itu nampak cemas dan menghalang saya daripada ke asrama malah mendakwa adik saya terkena penyakit sawan.
‘‘Saya tak percaya dakwaan pelajar terbabit kerana Muhammad Shamil Izwan tidak pernah kena sawan dan apabila sampai ke asrama saya dapati badannya sudah menggeletar, mulutnya berbuih dan jatuh pengsan,’’ katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Taiping di sini hari ini.
Menurut Muhammad Shauqi, dakwaan bahawa adiknya terminum racun daripada labu sayong yang disimpan di dalam almari juga tidak masuk akal kerana labu itu tidak pernah digunakan sebagai bekas menyimpan minuman.
Malah, dakwanya, penemuan sebuah botol air yang mengandungi racun rumpai yang sama diletakkan dalam labu air itu juga menunjukkan ada pihak yang cuba meracun adiknya.
‘‘Sebelum kejadian itu saya dapati adik saya berada dalam keadaan muram selepas dia bertemu dengan pelajar yang memanggilnya mengemas pakaian itu tadi.
‘‘Jadi saya rasa kejadian minum racun ini ada kaitan dengan semua perkara yang saya alami dan lihat sebelum itu. Ia mungkin dirancang dan pelajar yang terlibat cuba menyembunyikan perkara sebenar daripada polis,’’ katanya.
Kata Muhammad Shauqi, selepas kejadian itu pelajar yang disyaki dilihat berada dalam keadaan tidak tenteram dan banyak membuat kenyataan mengelirukan kepada pelajar serta guru.
‘‘Malah ketika wartawan TV3 datang ke sekolah baru-baru ini, dia tampil untuk ditemu bual dan memberi kenyataan yang tidak benar, mungkin dia mahu menyembunyikan sesuatu dan merahsiakan perkara sebenar,’’ katanya.
Sementara itu, ibu saudara mangsa yang enggan dikenali berkata, Muhammad Shamil Izwan masih berada dalam keadaan kritikal dan belum sedarkan diri.
Thursday, September 6, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment