Thursday, September 27, 2007

Utara: Paya bakau musnah

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar

Hutan Simpan Tanjung Burung terima kesan kegiatan keringkan air laut untuk projek komersial

PANTAI REMIS: Kawasan hutan paya bakau seluas kira-kira 70 hektar di Hutan Simpan Tanjung Burung dekat sini, musnah sepenuhnya berikutan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menggali parit bagi mengeringkan air laut. Kerja pengeringan air laut itu bermula kira-kira dua tahun lalu dipercayai untuk memberi laluan kepada projek rumah kediaman dan bangunan komersial.

Persatuan Alam Sekitar Perak mendapati pokok bakau dengan ketinggian kira-kira 10 meter di kawasan itu yang berusia sekurang-kurangnya 20 tahun mati secara semula jadi kerana penyejatan air dalam tanah. Setiausaha Kehormat persatuan itu, Meor Razak Abdul Rahman, berkata kemusnahan pokok bakau itu turut merosakkan rantaian makanan untuk burung tepi pantai dan sumber makanan ikan pinggir laut berhampiran Kampung Sungai Batu. "Bekas paya bakau yang kering-kontang itu kini ditumbuhi rumput dan pokok piai yang tidak memberi sumbangan kepada rantaian makanan untuk haiwan terutama ikan tepi pantai," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Hutan Simpan Tanjung Burung adalah hutan simpan kekal seluas lebih 900 hektar sepanjang pantai antara Manjung dengan Changkat Jering. Kawasan paya bakau itu bersempadan dengan Hutan Simpan Segari Melintang di selatan dengan Hutan Simpan Larut-Matang di utara.

Berita Harian di Hutan Simpan Tanjung Burung mendapati kawasan paya bakau yang dikeringkan itu terletak tidak sampai satu kilometer dari pekan Pantai Remis. Berdasarkan peta topografi Jabatan Perhutanan, kawasan yang dikeringkan itu adalah blok 118 yang ditandakan oleh jabatan berkenaan, bersempadan dengan Kampung Sungai Batu yang menempatkan jeti nelayan. Meor Razak berkata, penduduk kampung berkenaan menerima kesan langsung ketika tragedi tsunami dengan semua bot dan sampan mereka terbalik atau ditolak ke darat kerana ombak kuat. "Ketika itu, hutan bakau masih wujud berhampiran kampung mereka dan mampu menjadi penampan kepada gelombang air laut yang kuat. "Tetapi, sekarang semua pokok bakau berdekatan Kampung Sungai Batu sudah mati dan tiada apa yang mampu menjadi penampan jika berlaku tsunami sekali lagi," katanya. Meor Razak berkata, kemusnahan pokok bakau berhampiran Kampung Sungai Batu itu dikhuatiri akan turut menjejaskan sistem ekologi di Hutan Simpan Segari Melintang di selatan Hutan Simpan Tanjung Burung.

No comments: