Monday, October 29, 2007

Abdullah gesa petani guna benih berkualiti

Oleh Azmi Md Deros, Johari Ibrahim dan Siti Fatimah Mohamed Anwar

TANAMAN BERPOTENSI: Abdullah dan Jeanne melihat jagung manis sambil diperhatikan Mahdzir ketika melawat ladang jagung manis Sime Plantations Sdn Bhd (Sime Plantations) di Changlun, semalam.

Pengeluaran hasil tani tinggi mampu tingkat taraf hidup
CHANGLUN: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu semua pihak yang terbabit dalam aktiviti pertanian menggunakan benih berkualiti bagi menjamin hasil pengeluaran yang tinggi. Perdana Menteri berkata, hasil pengeluaran yang tinggi itu secara langsung dapat meningkatkan taraf pendapatan mereka yang menyertai kegiatan berkenaan. "Dengan biji benih yang baik dan bermutu sesebuah kawasan yang terhad dapat memberikan hasil yang banyak.
"Hasil yang baik itu juga akan mendorong petani berusaha lebih kuat lagi bagi meningkatkan pendapatan mereka kerana mereka akan nampak pekerjaan itu berbaloi dengan keringat yang dicurahkan. "Sebaliknya jika menggunakan benih yang tidak berkualiti, hasil yang diperoleh petani tidak baik menyebabkan mereka cepat bosan dan menganggap usaha itu tidak berbaloi," katanya selepas melawat ladang jagung manis Sime Plantations Sdn Bhd (Sime Plantations), anak syarikat Sime Darby Bhd di sini, semalam. Hadir sama, isteri beliau, Datin Seri Jeanne Abdullah; Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid; Pengarah Urusan Sime Plantations, Datuk Azhar Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Kedah Agro Industries Bhd, I Ting.
Ladang jagung manis seluas 80.9 hektar di Bukit Tangga itu adalah fasa pertama daripada keseluruhan 320 hektar yang akan dimajukan dengan projek berkenaan, satu daripada komponen penting Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER). Ia dilaksanakan secara usaha sama antara Sime Plantations dengan anak syarikat kerajaan negeri, Kedah Agro. Abdullah juga mahu Sime Plantations menjual sebahagian benih jagung dihasilkan di situ kepada petani di kawasan lain, khususnya di wilayah utara. "Saya yakin projek jagung ini mampu mencapai kejayaan kerana permintaan untuknya tinggi sehingga ia terpaksa diimport dan pengeluaran yang tinggi nanti membolehkan lebihan hasilnya dieksport," katanya.
Terdahulu, Azhar dalam taklimatnya berkata, projek tanaman jagung manis itu sudah berjaya menghasilkan lebih 100,000 tongkol jagung sejak ia dituai bulan lalu dan dijual secara segar di pasar raya seluruh negara. Katanya, bagi melahirkan usahawan tani, pihaknya akan melatih 600 petani dalam tempoh lima tahun bagi membolehkan mereka melaksanakan pertanian kontrak dengan syarikat itu. "Kumpulan pertama petani itu akan memulakan latihan selama enam bulan, Januari depan. Apabila beroperasi sepenuhnya nanti, ladang ini bukan saja menghasilkan jagung untuk dijual secara segar, sebaliknya yang dileraikan dan didingin beku serta ditinkan," katanya.

No comments: