Wednesday, October 31, 2007

PENGANTIN BARU TERMINUM RACUN RUMPAI

KUALA TERENGGANU 24 Sept. – Seorang pengantin baru terpaksa dikejarkan ke hospital selepas dipercayai terminum racun rumpai di rumahnya di Kampung Pulau Kerengga, Marang.
Dalam kejadian Sabtu lepas, mangsa yang baru sebulan mendirikan rumahtangga dengan lelaki pilihannya iaitu seorang pemandu lori dikatakan bertengkar dengan ibunya sejurus sebelum kejadian.
Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah II negeri, Supritendan K. Manoharan, dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa keluar dari rumah selepas bertengkar dengan ibunya sambil membawa sebotol racun rumpai.
“Selepas setengah jam mereka bergaduh, ibu wanita itu menemuinya dalam keadaan lemah lalu membawanya ke Klinik Kesihatan Merchang, Marang,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk rawatan lanjut.
Manoharan memberitahu, pihak polis menerima laporan daripada anggotanya yang bekerja di pondok polis hospital berkenaan kira-kira pukul 10.25 malam.
Katanya, siasatan awal terhadap ibu mangsa yang berada di hospital berkenaan mendapati mangsa terminum racun selepas bertengkar dengannya.
“Keadaan mangsa kini dilaporkan stabil,” ujarnya.

No comments: