Wednesday, October 31, 2007

BUDAK NYARIS MAUT TERMAKAN RACUN

Budak nyaris maut termakan racun
KOTA BHARU 29 Sept. – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 bulan dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian setelah dia memasukkan segenggam racun tikus ke dalam mulutnya.
Dalam kejadian di rumahnya di Jalan Bayam di sini pukul 10 pagi tadi, kanak-kanak itu, Wadya Kamarul Baharom (gambar) yang baru boleh berjalan, nyaris maut akibat termakan racun tikus berkenaan.
Ibu kanak-kanak itu, Latifah Abdullah, 39, berkata, ketika dia sedang melipat pakaian di ruang tamu rumah, anaknya itu berjalan menuju ke bahagian dapur bermain seorang diri lalu mengambil bekas racun tikus serta memasukkan kesemua isi racun berbiji itu ke dalam mulutnya.
“Saya terperanjat apabila mendapati mulut Wadya penuh dengan racun tikus yang berwarna merah jambu manakala sebahagian lagi bertaburan di atas lantai. Saya cuba mengeluarkan racun berkenaan menggunakan jari namun gagal.
“Saya kemudiannya bergegas keluar rumah dan memandu kereta membawa Wadya yang pada ketika itu masih sedarkan diri ke HUSM. Sepanjang perjalanan, saya berdoa agar dia selamat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Katanya, Wadya pada mulanya mendapat rawatan di unit rawatan rapi (ICU) sebelum dimasukkan ke Wad Pediatrik dan keadaannya dilaporkan stabil walaupun dikatakan terdapat kesan darah beku di dalam badannya setelah menerima rawatan intensif daripada doktor.
– Bernama

No comments: