Wednesday, October 31, 2007

ELAK MAKAN SAYUR TERCEMAR

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) memandang berat berhubung hasil kajian yang dijalankan baru-baru ini oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Kementerian Kesihatan dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Kajian itu menunjukkan kebanyakan sayur yang sering dimakan, dibeli dari Pasar Selayang yang membekalkan kepada kira-kira 75 peratus daripada pasar, pasar raya besar (hypermarket), pasar malam dan kedai runcit di Selangor, dicemari racun makhluk perosak penyebab kanser dengan banyaknya.
Kesemua sampel daun kari dan daun saderi yang diambil dari pasar borong di Selayang ini diuji positif bagi tiga kumpulan racun makhluk perosak penyebab kanser.
Dua pertiga daripada 93 sampel enam jenis sayur popular dicemari sekurang-kurangnya satu racun makhluk perosak dan hampir separuh daripada sampel itu didapati mempunyai sekurang-kurangnya dua hingga empat racun makhluk perosak.
Senario yang membimbangkan ini berkemungkinan menjadi alasan utama kenapa kadar kanser di negara kita semakin meningkat.
Hasil kajian ini menidakkan kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mah Siew Keong pada Mei 2007, yang menunjukkan kurang lima peratus daripada buah-buahan dan sayuran segar yang dijual di negara ini mengandungi banyak racun makhluk perosak berdasarkan maklumat daripada Kementerian Kesihatan.
Pada awal tahun ini, apabila CAP mengemukakan isu ladang haram dan fakta bahawa sayur-sayuran dicemari racun makhluk perosak dengan banyaknya, kami menerima banyak kritikan daripada Kementerian Pertanian dan kumpulan sokongan petani.
Penemuan kajian ini hanya menguatkan pendirian CAP yang membantah penggunaan racun makhluk perosak di ladang sayur.
CAP amat memandang berat terhadap kenyataan yang dibuat oleh Pengarah Bahagian Kawalan Racun Makhluk Perosak, Nursiah Md. Tajol Aros yang mengambil pendekatan lembut terhadap petani yang didapati menggunakan terlalu banyak racun makhluk perosak. Petani hanya dinasihatkan supaya menjalankan amalan pertanian yang baik.
Tidak hairanlah apabila keadaan itu tidak diperbaiki akan menjadi semakin buruk, memandangkan banyak fakta akhirnya diketahui juga.
Pada Mei 2003, Pengarah Bahagian Kawalan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan mengeluarkan kenyataan akhbar bertajuk, Tiada racun makhluk perosak berlebihan di dalam sayuran.
Pada masa itu, CAP bertanya sama ada kami boleh mendapatkan pelan pensampelan dan ujian terperinci bagi sisa racun makhluk perosak.
Maklumat yang kami ingin dapatkan secara khusus itu merupakan data mentah mengenai bilangan sampel yang dikumpul, dipadankan dengan pecahan mengikut produk, lokasi di mana keputusan diperoleh dan sebagainya. Ini akan membolehkan kami melihat sama ada sampel itu meliputi semua produk sayuran dan buah-buahan utama, kawasan di mana produk itu diperoleh dan apakah racun makhluk perosak khusus yang diuji.
CAP diberikan beberapa maklumat umum semata-mata yang tidak menjawab soalan kami dan kami masih tidak mampu mendapatkan data khusus, sungguhpun permintaan telah dibuat berulang kali.
Memandangkan hasil kajian IMR/UKM terbaru itu bertentangan dengan maklumat yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan kepada agensi kerajaan lain, CAP menggesa kementerian tersebut supaya membenarkan orang awam mengetahui pelan pensampelan dan ujian serta keputusan bagi beberapa tahun lalu.
Maklumat mengenai bila pensampelan dijalankan juga perlu dimasukkan. Pensampelan sepatutnya dijalankan secara berterusan sepanjang tahun, di tempat asalnya (ladang, dan sebagainya) serta di pelbagai tempat jualan di negara ini.
Kami juga menggesa Kementerian Kesihatan supaya menasihati pengguna mengenai hasil ladang yang boleh dimakan memandangkan hasil kajian terbaru ini.
Lebih baik pengguna mengelakkan hasil sedemikian sehingga orang awam diberi jaminan bahawa sayuran tempatan yang dijual di pasar adalah selamat dimakan.
Orang awam tidak seharusnya mempertaruh kesihatan mereka secara keterlaluan.

No comments: