Wednesday, October 31, 2007

PELAJAR PAKSA RAKAN MINUM RACUN DIREMAN

Oleh ZAINI RABAN
TAIPING 3 Sept. – Polis hari ini menahan reman seorang pelajar lelaki yang didakwa telah memaksa rakannya, Muhammad Shahmil Izwan Ahmad Shokri, 14, minum secawan air disyaki beracun sehingga menyebabkan mangsa koma selama empat hari, Isnin lalu.
Suspek iaitu pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Agama (SMA) Addiniah Changkat Jering di sini merupakan rakan seasrama mangsa.
Berdasarkan keterangan Muhammad Shahmil semalam menerusi nota yang ditulisnya sejurus sedar daripada koma, suspek dikatakan telah memanggil mangsa untuk ‘dibelanja minum dan makan roti canai’.
Tetapi sebaliknya, mangsa dipaksa minum secawan air yang dipercayai beracun yang menyebabkannya pening kepala lalu pengsan pada hari kejadian.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Raja Musa Raja Razak berkata, perintah reman ke atas pelajar juga berusia 14 tahun itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Taiping di sini pagi ini.
Beliau memberitahu, pelajar tersebut akan direman enam hari atau sehingga Sabtu ini mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi membantu siasatan lanjut.
“Sepasukan polis telah menahan pelajar terbabit yang juga rakan satu asrama mangsa sebaik dia masuk semula ke asrama di sekolah itu kira-kira pukul 6.30 petang semalam.
“Nama pelajar itu tertera pada nota yang ditulis mangsa semalam dan dia juga merupakan pelajar yang memberi kenyataan kepada sebuah stesen televisyen swasta tidak lama selepas kejadian,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping di sini, hari ini.
Isnin lalu, Muhammad Shahmil Izwan koma selepas dikatakan terminum racun rumpai.
Semalam, misteri di sebalik kejadian itu hampir terjawab selepas mangsa mula sedarkan diri dan menceritakan rentetan kejadian yang menimpa dirinya.
Setelah koma selama empat hari akibat terminum racun itu, Muhammad Shahmil mendakwa telah dianiayai oleh seorang rakannya.
Dia membongkar sebahagian misteri itu menerusi nota yang ditulisnya di atas tujuh helai kertas sebaik sedar di Unit Rawatan Rapi, Hospital Taiping semalam.
Raja Musa berkata, buat masa ini polis tidak mempunyai suspek lain dan mengandaikan hanya pelajar itu seorang sahaja yang terlibat.
Kata beliau, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Bagaimanapun, katanya, hukuman yang akan dikenakan ke atas suspek tidak sama seperti pesalah dewasa walaupun sabit kesalahan kerana ia merupakan kes juvenil.
Mengenai nota itu pula, Raja Musa menjelaskan, ia amat membantu siasatan polis dan selepas ini akan menyoal siasat suspek bagi mengumpul maklumat lebih lengkap.
“Ini termasuk maklumat utama seperti di mana suspek membeli racun itu, racun jenis apa dan berapa banyak dia membeli racun itu.
“Perkara ini amat penting kerana racun paraquat yang kita ambil daripada tukang kebun sekolah selepas kejadian didapati tidak sepadan dengan racun yang digunakan oleh suspek,” katanya.
Sementara itu, bapa mangsa, Ahmad Shokri Ayob, 44, ketika dihubungi berkata, keluarganya amat bersyukur dengan perkembangan siasatan kes itu dan berharap segala misteri kejadian tersebut akan terjawab.
Katanya, keadaan anaknya itu juga semakin baik apabila sudah tidak lagi menggunakan bantuan pernafasan dan boleh bercakap secara perlahan-lahan.

No comments: