Wednesday, October 31, 2007

RACUN: ORANG RAMAI DILARANG BELI,GUNA SLENDERINE CAPSULE

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membeli dan menggunakan produk tradisional “Slenderine Capsule"
berikutan pengesanan racun berjadual “Fluoxetine” dalam produk tersebut.
Kementerian Kesihatan berkata, orang ramai diminta tidak menggunakan produk itu yang mengandungi “Fluoxetine” tanpa merujuk dan dipantau oleh doktor kerana ia boleh menyebabkan kesan sampingan.
“Ini termasuk tekanan darah meningkat dan kesan kardiovaskular, kesan terhadap sistem saraf pusat seperti gangguan emosi, gangguan tidur dan kesan mengenai sistem gastrointestinal seperti penurunan berat badan,” menurut kenyataan kementerian itu di sini hari ini.
Produk itu memudaratkan pengguna yang telah pun menghadapi risiko tinggi dalam keadaan seperti itu.
Pendaftaran produk “Slenderine Capsule” telah dibatalkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada mesyuaratnya ke-195 berikutan pengesanan “Fluoxetine”, walaupun terdapat produk mengandungi bahan yang didaftarkan dengannya setelah penilaian keselamatan ketat dan kawalan kualiti diadakan.
Bagaimanapun, kenyataan itu menyatakan bahawa “Fluoxetine” tidak dibenarkan dilabelkan dalam produk yang diklasifikasikan sebagai ubat tradisional.
Orang ramai dinasihatkan untuk mengelakkan penggunaan “Slenderine Capsule” yang kini dalam pasaran yang tidak dijamin oleh kementerian itu.
Pemilikan produk itu akan diberhentikan penjualan dan pengedaran atau penggunaannya dengan serta-merta.
Penjual diingatkan bahawa pemilikan untuk menjual produk tersebut adalah menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh didenda maksimum RM25,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.
Bagi kesalahan seterusnya, denda maksimum RM50,000, dan penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan.
Sesebuah syarikat yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM50,000 bagi kesalahan pertama dan sehingga RM100,000 untuk kesalahan seterusnya. - Bernama

No comments: