Oleh SAHBULAH DARWI
ANGGOTA polis dan bomba memeriksa sebahagian daripada 33 tong asid nitrik dan asid hidroklorik yang ditemui di kawasan belukar di Kampung Pelet, Penanti, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam. –Gambar Shamsudin Saleh.
Bahan kimia yang ditemui kira-kira pukul 7 malam itu ialah 27 tong asid nitrik dan enam tong asid hidroklorik di lokasi tersorok kira-kira dua kilometer dari kawasan penempatan awam.
Utusan Malaysia yang berada di lokasi kejadian mendapati kesemua tong tersebut disusun rapi dan bertingkat antara satu sama lain di bawah rimbunan pokok-pokok.
Setiap tong diisi dengan kira-kira 20 liter asid dan sebahagian tong berkenaan didapati berlabel dengan maklumat yang kabur.
Jurucakap Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkata, ia dijumpai oleh penduduk kampung tersebut yang kemudian menghubungi polis untuk melaporkan penemuan tersebut.
‘‘Berdasarkan siasatan awal, bahan kimia tersebut dipercayai dibuang atau ditinggalkan di kawasan itu sejak dua bulan lepas,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, polis kemudian meng- hubungi JAS dan Hazmat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi menjalankan siasatan.
Katanya, disebabkan lokasi itu terpencil dan terletak di kawasan berbukit dengan belukar tebal maka bahan tersebut dipercayai diangkut menggunakan lori untuk dibawa masuk melalui lorong belukar dari jalan masuk yang terdapat bersebelahan tanah perkuburan Penanti.
Jurucakap itu berkata, pegawai JAS dan bomba akan mengalihkan bahan tersebut ke lokasi yang akan ditentukan kemudian.
‘‘Siasatan masih dijalankan dan setakat ini tiada sebarang tangkapan dilakukan,” katanya.
No comments:
Post a Comment