Friday, August 17, 2007

Keracunan racun Serangga Pertanian

Oleh Wan Zainal AzmanPusat Racun Negara, USM.

Racun serangga merupakan salah satu daripada racun makhluk perosak. Ia digunakan dengan meluas di kebun dan ladang-ladang di Malaysia.
Penggunaan racun serangga merupakan salah satu aktiviti pertanian dalam usaha meningkatkan hasil pertanian dan mengurangkan kerugian hasil akibat serangan dan jangkitan penyakit yang disebabkan oleh serangga perosak.
Penggunaan racun serangga di Malaysia menduduki tempat kedua terbanyak selepas racun rumpai. Penggunaannya melibatkan lebih kurang 10% daripada penggunaan racun makhluk perosak yang lain.
Penggunaan racun serangga organofosfat semakin menggalakkan dalam industri pertanian disebabkan ia mudah lupus dalam alam sekitar berbanding racun DDT dan hidrokarbon berklorin.
Racun organofosfat mengandungi beberapa jenis bahan aktif bergantung kepada jenama dan bentuk sediaannya. Bahan aktif ini boleh dibahagikan kepada tiga tahap ketoksikannya.
Tahap ketoksikan diukur melalui tindakbalas satu dos bahan aktif dimasukkan ke dalam tubuh sama ada melalui oral atau dermal (kulit).
Racun organofosfat bertindak sebagai racun saraf yang membunuh dengan merencatkan aktiviti enzim acetylcholinesterase.
Keracunan akut (mendadak) ataupun kronik (jangka panjang boleh berlaku kepada manusia apabila terdedah kepada racun tersebut. Mereka yang terlibat secara langsung menggunakan racun organofosfat boleh mendapat kesan keracunan akibat pendedahan semasa aktiviti penyemburan dilakukan.
Bagaimanapun keracunan yang boleh menyebabkan maut dapat dielakkan dengan menjauhkan diri daripada pendedahan yang berterusan. Selain daripada bahan aktif, organofosfat juga mengandungi pelarut berasaskan minyak seperti toulene atau xylene yang disenaraikan sebgai bahan lengai.
Bahan lengai ini tidak merbahaya kepada manusia tetapi menjadi toksik jika diambil berlebihan.
Organofosfat cepat diserap menerusi saluran pernafasan, mulut dan kulit. Ia akan diserap terus ke paru-paru, perut dan bahagian kulit.
Keracunan yang berlaku bergantung kepada toksisiti bahan aktif, berapa banyak yang telah diambil, kadar penyerapan, kadar kemusnahan metabolik organofosfat dan pendedahan utama kepada penghalang enzim cholinesterase.
Keracunan akut boleh berubah-ubah bergantung kepada kadar penyerapan sama ada memerlukan pengaktifan metabolik atau tidak.
Penyerapan secara mengejut racun yang kurang toksik boleh menyebabkan keracunan teruk. Organofosfat menyerang organ-organ bahagian dalam badan seperti saluran pernafasan, paru-paru, jantung, hati, sistem penghadaman, sistem saraf pusat, otot, kelenjar air liur dan pundi-pundi air kencing.
Di antara tanda-tanda keracunan organofosfat ialah keluar air liur yang banyak, sakit kepala, lemah anggota badan, pening, mual, muntah, berpeluh dengan banyak, sakit perut, pandangan menjadi kabur, pengsan dan susah untuk bernafas.
Tanda-tanda ini berlaku selepas beberapa minit sehingga 12 jam terdedah kepada racun tersebut.
Jika terhidu racun organofosfat, keracunan akut boleh berlaku. Biasanya pesakit akan menghidap radang saluran atas pernafasan, radang paru-paru dan selaput mukosa.
Keracunan kronik boleh berlaku jika terdedah dalam jangkamasa yang lama. Kebiasaannya apabila keracunan ini berlaku pesakit kelihatan sukar untuk bernafas dan batuk-batuk.
Mangsa hendaklah dibawa ke tempat lapang dan berikan bantuan pernafasan dengan segera.
Jika terkena pada badan, pakaian pesakit hendaklah ditanggalkan. Kulit yang terkena racun tersebut haruslah dicuci dengan air bersih yang banyak bersama sabun. Racun organosfosfat boleh meresap masuk melalui kulit dan boleh menyebabkan gangguan kulit.
Untuk mengelakkan kejadian ini berlaku, sarung tangan getah hendaklah dipakai semasa membancuh racun.
Begitu juga jika terkena pada mata, hendaklah cuci dengan air yang bersih selama 15 minit. Biasanya keracunan ini menyebabkan penglihatan menjadi kabur. Jika mata mengalami radang, bengkak dan kesakitan yang berterusan pesakit harus dibawa segera ke hospital untuk mendapat rawatan lanjut.
Jika berlaku keracunan melalui mulut, jangan sekali-kali ikhtiarkan mangsa muntah kerana dikhuatiri berlaku kesesakan bernafas, sawan dan koma. Hantar segera mangsa ke hospital.
Tanda-tanda keracunan ini ialah mangsa muntah dengan sendiri, terasa mual dan cirit birit. Biasanya mangsa keracunan ini boleh dikenalpasti melalui bau nafas seperti bawang putih.
Kesan daripada keracunan melalui mulut ini mengakibatkan kerosakan dan mengganggu organ dalam badan. Jantung akan mengalami denyutan tidak menentu, gangguan kepada sistem saraf pusat dan boleh menyebabkan sawan dan koma manakala kesukaran bernafas terjadi akibat kesesakan paru-paru.
Apabila seseorang keracunan termakan racun secara tidak sengaja ataupun dengan sengaja bertujuan bunuh diri, boleh mengakibatkan keracunan serius dan boleh membawa maut dalam masa 24 jam jika tidak mendapat rawatan perubatan.
Meskipun menerima rawatan perubatan, kematian juga boleh berlaku terutama dalam keadaan teruk. Oleh itu pesakit ini perlu diberi rawatan di hospital dan seawal mungkin

No comments: