LAHAD DATU: TUMBUHAN Cassia cobanensis dan mikrob, Bacillus thuringiensis (BT) adalah dua agen semula jadi berupaya mengawal dan merendahkan populasi serangga perosak daun pokok sawit terutama ulat bungkus dan ulat beluncas.Ketua Unit Pengeluaran dan Pengurusan Tanaman MPOB, Dr Norman Kamarudin, berkata ulat bungkus dan ulat beluncas dua jenis serangga perosak pokok sawit yang sangat merbahaya dan boleh menjejas industri sawit negara jika gagal dikawal secara berkesan,
“Kemerosotan hasil berikutan kerosakan pokok disebabkan serangan ulat tidak dapat dielakkan dan menyebabkan penurunan hasil Buah Tandan Segar (BTS) antara 33 hingga 47 peratus di sesebuah kawasan tanaman sawit,” katanya ketika membentang kertas kerja bertajuk pengurusan penyakit dan serangga perosak sawit pada Seminar 5 Bandar di sini, baru-baru ini. Menurut beliau, kajian menunjukkan ulat bungkus berupaya dikawal secara biologi dengan berkesan oleh serangga parasitoid iaitu musuh semulajadi ulat bungkus.
“Parasitoid menyerang ulat bungkus dengan menggunakan badan ulat itu sebagai hos atau perumah menerusi penyuntikan telurnya ke dalam badan ulat itu. Larva parasitoid menetas dan membesar di dalam badan ulat itu, sekali gus membunuh ulat itu,” katanya.Menurutnya, tumbuhan Cassia cobanensis yang nama tempatannya dikenali kacang kasia adalah pokok renek rimbun dengan ketinggian kurang satu meter. Tumbuhan ini menghasilkan manisan yang menjadi sumber makanan dan mengembang populasi serangga parasitoid ulat bungkus. “Tumbuhan kacang kasia juga terbukti berupaya menarik serangga parasitoid ulat bungkus sebagai sumber makanan untuk melanjutkan tempoh hidupnya dan membolehkan ia mengembangkan populasinya. Selain bunga berwarna kuning yang kembang setahun sekali, wujud juga kelenjar di celah daun yang mengeluarkan manisan yang menjadi sumber makanan utama parasitoid itu di ladang sawit.“Kajian MPOB juga menunjukkan kebanyakan parasitoid ulat bungkus memilih kacang kasia berbanding tanaman berbunga lain. Ini disebabkan kelenjar manisan tumbuhan itu mudah ditemui parasitoid,” katanya.Untuk lebih berkesan katanya, tumbuhan bermanfaat itu perlu ditanam di semua ruang terbuka seperti di tepi jalan pertanian dan di tepi parit seluruh kawasan ladang sawit. Amalan agronomi yang baik perlu bagi mengekalkan tumbuhan itu dalam keadaan sempurna. Ia perlu ditandakan supaya dapat mengelakkan pekerja menyembur racun pada tumbuhan berkenaan. Dr Norman juga berkata, selain itu, MPOB berjaya mengenal pasti sejenis bakteria (BT) tempatan yang mengandungi toksin dalam bentuk protein berhablur untuk membunuh serangga perosak memakan daun pokok sawit seperti ulat bungkus dan ulat beluncas dengan berkesan. Serangan agen itu khusus ke atas serangga perosak dan tidak memudaratkan manusia, hidupan lain dan alam sekitar.“MPOB mengeluarkan dua teknologi formulasi BT MPOB, Terakil-1 untuk semburan dan Teracon-1 untuk suntikan batang, mengandungi toksin BT yang berkesan dan berupaya membunuh ulat bungkus dan ulat beluncas. Lebih 80 peratus ulat mati kerana memakan daun sawit terkena toksin itu.“Kawalan biologi semula jadi itu satu kawalan jangka panjang berbanding kawalan menggunakan racun. Racun kimia membunuh semua serangga perosak. Kawalan biologi sama ada menerusi penanaman Cassia cobanensis atau penggunaan BT bertujuan mengurangkan populasi ulat bungkus ke tahap rendah yang tidak membahayakan pengeluaran hasil pokok sawit,” jelas Dr Norman.“Sebahagian kecil populasi ulat bungkus masih diperlukan bagi membantu mengembangkan populasi parasitoid untuk meneruskan tugasnya mengawal secara semula jadi ke atas serangga perosak itu untuk jangka masa panjang."Pemantauan perosak dari semasa ke semasa penting agar serangan tidak mencapai tahap serius sehingga merebak dan sukar untuk mengawalnya. Kawalan mesti dijalankan ketika ketika populasi perosak telah melebihi tahap ekonomik yang boleh menjejaskan pengeluaran hasil sawit,” jelas Dr Norman.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment