Friday, August 17, 2007

Microtec mesra alam

BANGI: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) terus mengorak langkah bagi memastikan keprihatinan masyarakat terhadap pelestarian alam sekitar melalui penggunaan teknik kawalan serangga perosak sawit secara biologi. Penubuhan Pusat Teknologi Kejuruteraan Mikrob atau Microbial Technology Engineering Centre (Microtec) adalah satu lagi kemajuan teknologi MPOB dalam pengeluaran produk mesra alam.
Microtec yang terletak di kawasan Kompleks Ibu Pejabat MPOB di Bangi memulakan operasi pada 2005 dan dilancarkan dengan rasminya Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Peter Chin Fah Kui pada 27 Jun lalu. Microtec adalah di antara loji rintis terbaru Bahagian Penyelidikan Biologi. Tahun lalu MPOB melancarkan Pusat Teknologi Metarhizium atau (METEC) yang mengeluarkan produk biologi bagi mengawal pembiakan populasi kumbang badak.
Kajian MPOB mendapati lebih 95,000 hektar tanaman sawit diserang serangga perosak ulat bungkus, sementara lebih 36,000 hektar diserang ulat beluncas dan lebih 68,000 hektar lagi diserang kumbang badak yang merugikan pengusaha ladang kerana menjejaskan produktiviti pengeluaran buah tandan segar terjejas.Menyedari kemusnahan pokok sawit matang akibat serangan serangga perosak perlu dibendung dengan teknik kawalan yang berkesan tanpa memberi kesan kepada alam sekitar, Microtec ditubuhkan khusus bagi mengkaji mikrob tulen untuk dibangunkan sebagai produk-agro berasaskan mikrob atau bio seperti racun serangga perosak, racun kulat perosak dan baja untuk keperluan industri sawit.Penyelidikan MPOB terhadap sejenis mikrob yang dikenali Bacillus thuringiensis (Bt), Microtec berjaya menghasilkan racun serangga perosak dalam bentuk serbuk dikenali Terakil-1 untuk semburan kering, manakala Teracon-1 adalah produk yang disuntik pada batang pokok sawit.Kedua-dua produk berkenaan berkesan bagi mengawal serangga perosak bukan saja pada tanaman sawit tetapi juga tumbuhan lain seperti pokok buah-buahan dan sayur-sayuran.

No comments: