Berita Harian, 2 Okt 2002
Oleh Junita Mat Rasid
KEPESATAN pembangunan perindustrian dan pertanian tidak dapat dipisahkan dengan alam sekitar. Umum juga mengetahui pembangunan yang tidak terancang sedikit sebanyak merosakkan alam sekitar.
Sehubungan itu, amalan Pertanian Yang Baik (GAP) yang merujuk kepada pengurusan ladang atau kebun secara teratur dan ke arah pertanian lestari berdasarkan piawaian yang diguna pakai pada peringkat antarabangsa seperti Eurep GAPM dan Codex, selain piawaian Malaysia sendiri bukan saja akan menghasilkan buah-buahan serta sayur-sayuran bermutu, malah mesra alam sekitar.
Pengurusan ladang yang sistematik dan mementingkan semua aspek pengeluaran dijalankan dengan mengambil kira kesannya terhadap alam sekitar.
Pertanian yang tidak terancang tanpa GAP dan hanya mementingkan keuntungan semata-mata pula akhirnya menyumbang kepada kemusnahan alam sekitar.Contohnya, Cameron Highlands kawasan tanah tinggi kira-kira 1,829 meter daripada paras laut adalah kawasan terkecil di Pahang yang meliputi keluasan 71,2333 hektar atau 443 kilometer persegi. Suhu di kawasan peranginan itu antara 10 hingga 23 darjah celsius menjadikannya penempatan sesuai untuk bercuti. Persekitaran itu amat sesuai untuk pertanian teh, sayur-sayuran dan buah-buahan.
Bagaimanapun, pembangunan ekonomi yang tidak terkawal, hakisan dan pencerobohan hutan secara haram mengancam sistem geografi Cameron Highlands. Malah, kajian mendapati kawasan tanah tinggi itu kini sudah tidak sesejuk berbanding sekitar 1970-an.
Kaedah pertanian mesra alam, termasuk tanpa penggunaan banyak racun serangga, sistem pengairan yang baik dan pemilihan tapak yang bersesuaian perlu diberi perhatian.Buah-buahan dan sayuran yang dihasilkan bukan saja berkualiti dan selamat dimakan, malah proses penghasilannya tidak menyumbang kepada kerosakan alam sekitar yang memberikan kesan negatif kepada masyarakat.
Menyedari hakikat ini, Kementerian Pertanian memperkenalkan Skim Akreditasi Ladang Malaysia (SALM) untuk mengiktiraf ladang yang menekankan GAP, sekali gus mesra alam sekitar, selain menghasilkan produk berkualiti, selamat dan sesuai dimakan.
Setakat ini, SALM yang dimulakan sejak awal tahun ini menghasilkan 15 kumpulan pertama petani yang mendapat pengiktirafan anugerah itu.Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Ismail Ibrahim ketika majlis penyampaian sijil SALM baru-baru ini, berkata pertanian mesra alam membabitkan semua proses, iaitu pemilihan tanah yang bersesuaian sehingga penghasilan produk yang bercirikan kualiti selamat serta tidak mengandungi sisa racun perosak, logam berat dan pencemaran mikrobial.
Katanya, pertanian sepatutnya mengelak hakisan, pencemaran air dan hanya melalui pemeriksaan serta pemantauan berterusan penting untuk memastikan pertanian mesra alam."Melalui pelaksanaan skim persijilan SALM, jabatan dapat membuat teguran dan nasihat kepada petani mengenai penggunaan racun, amalan teknologi dan pengurusan ladang yang betul daripada semua aspek yang menyumbang kepada persekitaran selamat."Jabatan juga membuat analisis hasil air dan baja bagi memastikan ia sentiasa berada di bawah paras yang dibenarkan. Lazimnya produk bermutu adalah hasil daripada sumber yang baik melalui pembangunan terancang," katanya.
Katanya, pengurusan pertanian mesra alam menguntungkan petani kerana masyarakat hari ini sudah sedar dan mengutamakan sumber makanan yang tidak tercemar dan selamat dimakan serta memastikan proses itu tidak menjadikan alam sekitar sebagai mangsa.
Melalui skim itu, pegawai Jabatan Pertanian yang terlatih melawat dan memeriksa ladang serta pelbagai pemeriksaan berdasarkan syarat yang ditetapkan bagi memastikan ia tidak menjejaskan alam sekitar.
Secara umum, skim ini menumpukan tiga aspek penilaian, iaitu kesesuaian ladang dan persekitaran, amalan pertanian dan kualiti produk.Kesesuaian tanah dan persekitaran yang mengambil kira lokasi, hak milik dan sejarah guna tanah serta risiko yang dihadapi kawasan terbabit seperti hakisan, tanda-tanda hakisan dan risiko banjir penting bagi memastikan pertanian mesra alam sekitar.Selain itu, GAP mengambil kira pengurusan tanah dan substrat, penggunaan bahan tanaman dan input, pengurusan pembajaan dan kawalan perosak, pengendalian lepas tuai, pengurusan dan pembuangan sisa ladang dan sisa baki racun perosak serta logam berat di bawah paras yang dibenarkan.
Pendekatan pengurusan perlu dilaksanakan secara mesra alam sekitar dengan penggunaan racun serangga berdaftar dan disyorkan saja. Kadar dan kekerapan penggunaan racun perosak itu perlu mengikut sukatan yang disyorkan bagi menjamin ia tidak digunakan berlebihan yang akhirnya diserap oleh permukaan bumi.
Dalam pengurusan mesra alam itu, ladang pertanian perlu terletak pada paras ketinggian kurang daripada 1,000 meter bagi menjamin ekosistem sedia ada tidak terjejas disebabkan pelbagai masalah, termasuk hakisan tanah.
Pemeriksaan di kawasan ladang dan sampel hasil pertanian yang sedia untuk dipasarkan juga penting bagi memastikan sisa baki racun perosak, logam berat dan pencemaran mikrobial yang tidak melebihi paras ditetapkan.Pemeriksaan itu bagi memastikan ladang mengamalkan hasil pertanian secara lestari berpandukan konsep alam sekitar sebagai jaminan tidak memudaratkan alam sekitar.
Petani wajar memanfaatkan kaedah yang sesuai bagi memastikan pertanian lebih selamat dan berkesan dalam meningkatkan pengeluaran dengan mengurangkan penggunaan bahan kimia.Ia selaras dengan kesedaran bahawa pertanian yang mematuhi proses pemuliharaan alam sekitar dan tidak hanya mementingkan keuntungan semata-mata penting bagi menjamin kesejahteraan penduduk dan persekitaran yang selamat untuk generasi akan datang.
Hakikatnya, kita bukan saja memerlukan kawasan untuk pembangunan pertanian, tetapi pada sama kawasan itu perlu memenuhi ciri mesra alam sekitar untuk kepentingan bersama.Sebolehnya kita tidak mahu menjadikan alam sekitar sebagai sasaran semata-mata bagi kepentingan keuntungan yang akhirnya merugikan masyarakat apabila berlaku hakisan air dan tanah serta fenomena alam sekitar yang menyebabkan proses pembangunan terbantut.
Justeru, sikap petani melupuskan sisa buangan pertanian secara tradisional dengan melakukan pembakaran terbuka dan penggunaan racun perosak tanpa sukatan yang ditetapkan adalah antara penyumbang kemusnahan alam sekitar.Apa yang penting ialah produk yang dihasilkan tidak mementingkan kuantiti saja tetapi yang lebih utama ialah kualitinya terjamin dengan mengambil kira sumbangannya kepada alam sekitar.Ia juga selaras wawasan negara untuk menjadi pembekal dan pengeksport utama produk makanan menjelang 2010 tidak menjejaskan alam sekitar serta tidak mengenepikan kualiti ladang yang mesra alam sekitar.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment