Berita Harian 22/1/05 Oleh KC Chong
KUALA LUMPUR: Memiliki kediaman sendiri memang impian setiap orang terutama bagi mereka yang menetap di ibu kota.Bagaimanapun, keadaan membimbangkan penduduk apabila mendapati rumah impian mereka retak selepas beberapa tahun mendiaminya. Tanah mendap juga membuatkan penduduk gelisah kemungkinan berlaku kejadian tidak diingini. Itulah situasi yang terpaksa dihadapi kira-kira 500 penduduk di Taman Seri Timah sejak Ogos 2003.Tinjauan Sentral bulan lalu mendapati struktur 150 unit rumah daripada 440 unit rumah di taman perumahan itu retak bagaikan menanti belah. Keretakan begitu ketara pada dinding dan siling.Penduduk risau dan bimbang jika tiada sebarang pemulihan atau tindakan dilakukan keadaan menjadi semakin teruk dan tidak mustahil berlaku runtuhan.Penduduk di taman itu mendakwa keretakan berpunca daripada kerja mengorek tanah untuk projek pembinaan banglo mewah di tanah bersebelahan taman perumahan itu.Penduduk juga mendakwa kerja berkenaan menyebabkan tanah bekas lombong besi itu cepat mendap. Isu itu pernah disiarkan dalam beberapa akhbar tempatan pada 2003, tetapi keadaan rumah teres di taman perumahan itu semakin terjejas.Taman Seri Timah berasal daripada lombong besi pada sekitar 80-an dan dimajukan sebagai projek perumahan untuk bekas pekerja lombong oleh kerajaan Selangor pada 1983.Bekas pelombong, Teh Kin Hai, 72, berkata tindakan pemaju banglo yang mengorek tanah di sebelah Taman Seri Timah mengakibatkan hakisan tanah yang membimbangkan penduduk terutama penghuni di Jalan Seri Timah 1 kerana kawasan hakisan tanah hanya terletak kira-kira satu meter dari dapur rumah.“Kami bimbang keselamatan kerana takut rumah akan runtuh pada bila-bila masa saja tanpa diketahui. Jika pemaju terbabit masih meneruskan kerja mereka, tentu akan berlaku hakisan tanah yang teruk pada masa depan.“Kawasan ini adalah bekas lombong besi, tanahnya bercampur dengan pasir dan batu dan tidak sekukuh seperti tanah biasa,” katanya, baru-baru ini.Penduduk Lim Hock Keng, 64, berkata penduduk mula berasa mendapan tanah tiga tahun lalu.Beliau berkata, penduduk tidak membantah pembinaan banglo itu, tetapi harus mengikut kriteria yang ditetapkan supaya tidak mengancam keselamatan taman perumahan berdekatan.“Berdasarkan pengalaman saya sepanjang 30 tahun bekerja sebagai pelombong besi, penghadang hakisan yang dibina mesti enam meter dari rumah terdekat.“Jika penghadang hakisan dibina kurang daripada enam meter, penghadang itu tidak mampu mengelakkan hakisan tanah,” katanya.Ahli Parlimen Serdang, Datuk Yap Pian Hon, berkata mengikut laporan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (Selangor dan Wilayah Persekutuan) pada 24 Mei 2003, keretakan dipercayai disebabkan pemendapan tanah hasil kerja pengorekan tanah daripada projek banglo itu.Katanya, dia sudah menghantar laporan mengenai kejadian itu kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), malangnya tiada tindak balas.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment