Friday, August 17, 2007

Ke Arah Melaksanakan Pertanian Ekologi

Berita Harian, 12 Nov 2002
Oleh Junita Mat Rasid

SEKTOR pertanian hari ini menghadapi cabaran serius untuk meningkatkan hasil bagi memenuhi keperluan makanan selaras dengan populasi penduduk. Hasil pertanian perlu sentiasa ditingkatkan dan pada masa yang sama kita perlu memastikan sumber alam semula jadi tidak dieksploitasi secara keterlaluan yang boleh menyebabkan kerosakan.Bagaimana, proses meningkatkan pengeluaran pertanian yang diamalkan sentiasa terdedah kepada kerosakan habitat sehingga menyebabkan pelbagai spesies musnah.Di negara ini, dalam tempoh 1955 hingga 2000, pengeluaran makanan meningkat 2.6 peratus setahun, berbanding keperluan makanan meningkat antara 6 hingga 7 peratus setahun. Bagaimanapun peningkatan kegiatan pengeluaran pertanian seperti yang diamalkan di kebanyakan negara di dunia, menimbulkan ancaman kepada sebahagian besar sistem ekologi semula jadi.Pertanian tidak boleh dihentikan tetapi jika polisi pertanian yang diamalkan sekarang tidak diubah, tidak mustahil biodiversiti akan musnah dalam tempoh 50 tahun akan datang. Hari ini biodiversiti terancam dan mungkin pupus kerana kegiatan manusia sendiri. Walaupun Malaysia adalah antara negara di dunia yang kaya dengan biodiversiti, tanpa pengurusan sistematik dan kesedaran semua pihak, biodiversiti akan musnah begitu saja.Bidang ini perlu ada keseimbangan antara usaha untuk memulihara biodiversiti yang selalu dilaung-laungkan negara maju dengan hak negara membangun yang kaya dengan khazanah ini untuk menggunakan secara mapan.Biodiversiti merujuk kepada unsur semula jadi yang meliputi haiwan, tumbuhan dan mikro organisma yang membantu sistem ekologi. Ia membantu mengekalkan kepentingan keseimbangan atmosfera bumi, melindungi tadahan air, memperbaharui tanah dan mengitar semula nutrien.Kepentingan biodiversiti tidak dapat dinafikan, malah di sesetengah kawasan yang mempunyai jumlah biodiversiti yang sedikit seperti di gurun, kehadiran beberapa spesies di kawasan itu masing-masing mempunyai peranan penting kepada semua hidupan di kawasan itu.Penyelidik Pemodelan Ekologi Pusat Penyelidikan Strategik, Alam Sekitar dan Sumber Semula Jadi di Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi), Dr Mohd Norowi Hamid, berkata haiwan termasuk serangga sebenarnya membantu produktiviti tumbuhan, selain menyumbang kepada kesuburan tanah dan mengatur populasi serangga perosak. Katanya, tumbuhan serta rumput pula membantu memastikan sumber air bersih dan mengawal banjir, manakala mikro organisma memainkan peranan mengurai bahan organik termasuk membentuk tanah, membantu pergerakan udara dan air serta memusnahkan serangga perosak. Banyak kajian mendapati ada langkah yang boleh dijalankan untuk mengendalikan pewujudan bersama antara hidupan alam sekitar dan pertanian.Dr Mohd Norowi berkata, serangga turut menyumbang kepada ekologi, tanpanya fungsi ekosistem mungkin tidak seimbang.“Serangga adalah antara binatang yang mula memproses tumbuhan kepada protein dan menyediakan makanan dalam rantai makanan dan turut bertindak sebagai ejen kitar semula.“Malah serangga turut membantu meningkatkan tahap kesuburan tanah dan menjadi ejen pengawalan biologi serta ejen pendebungaan,” katanya.Katanya, tanpa pengurusan sempurna, pertanian akan menghapuskan habitat hidupan liar.Beliau berkata, kehilangan habitat yang disebabkan pembangunan pertanian dan perubahan tanah pertanian menjadi bandar dikenal pasti sebagai ancaman moden yang serius terhadap pengekalan biodiversiti.Katanya, separuh daripada hutan, kawasan tropika digunakan untuk pembangunan, manakala lebih satu pertiga padang rumput dan savana turut digunakan untuk kegiatan pertanian. Di Asia Tenggara, penggunaan tanah pertanian meningkat 11 juta hektar tanah dalam tempoh 1980-an hingga awal 1990-an dengan kebanyakannya adalah tanah hutan yang diterokai. Selain itu pertanian turut menyebabkan pencemaran bahan kimia yang akhirnya boleh mengurangkan biodiversiti.Setiap tahun, negara membelanjakan kira-kira RM300 juta untuk racun serangga dengan 75 hingga 85 peratus daripadanya adalah racun rumpai. Kebanyakan daripada racun serangga ini menyumbang kepada hasil tanaman.“Dianggarkan separuh daripada pengeluaran gandum akan musnah jika petani tidak menggunakan racun serangga.“Malangnya, kebanyakan racun serangga juga mempunyai kesan buruk terhadap biodiversiti, sama ada melalui racun kimia oleh haiwan atau melalui pencemaran air dan habitatnya,” katanya.Sisa racun serangga boleh mengganggu hidupan dalam air dan pesisiran pantai, termasuk batu karang, hutan paya bakau dan rumpai laut.Pertanian perlu diuruskan dengan baik bagi melindungi biodiversiti, nilai habitat dan pada masa sama menyediakan bekalan makanan serta pendapatan kepada penduduk.Pengurusan ekosistem yang dijalankan dengan gabungan strategi untuk menyediakan sumber makanan dan pada masa sama melindungi haiwan boleh menjadi langkah berkesan pengekalan biodiversiti.Pertanian berasaskan ekologi adalah sistem pertanian yang tidak bergantung sepenuhnya kepada bahan kimia, sebaliknya menggunakan tindak balas ekologi sedia ada untuk meningkatkan produktiviti dan perlindungan.Melalui pengurusan kegunaan biodiversiti ini, dunia tidak perlu lagi bergantung sepenuhnya kepada bahan kimia.Sebagai pusat mega biodiversiti, Malaysia mempunyai banyak pilihan ejen biologi yang lebih selamat digunakan termasuk bakteria, tumbuhan, haiwan dan bahan galian.Ejen biologi secara amnya mempunyai sasaran yang terhad dan mekanisme tindak balas yang khusus untuk menghapuskan perosak. Ada tiga jenis ejen biologi bagi mengawal makhluk perosak iaitu ejen tumbuhan, biokimia dan mikrob. Ejen tumbuhan dihasilkan daripada bahan biak baka yang dimasukkan dalam sesuatu pokok.Ejen biokimia pula adalah bahan asli yang mempunyai mekanisme tindak balas tidak bersifat toksik, manakala ejen mikrob terdiri daripada bakteria, kulat, virus dan protozoa sebagai bahan aktif.Pertanian organik adalah antara pertanian ekologi yang bergantung kepada sumber semula jadi untuk meningkatkan hasil pertanian dan pemprosesan makanan.Dr Norowi berkata, antara strategi mewujudkan dasar pertanian ekologi ialah dengan mengurangkan kemusnahan habitat melalui peningkatan produktiviti pertanian dan pengekalan tanah pertanian sedia ada.Katanya, jika produktiviti ditingkatkan, keperluan untuk membuka kawasan pertanian baru menurun dan secara tidak langsung mengelak daripada pemusnahan habitat biodiversiti.Selain itu, katanya, penyediaan sebahagian kecil kawasan pertanian bertujuan mengekalkan habitat tumbuhan dan haiwan sedia ada turut menyumbang kepada pertanian ekologi.Sebagai contoh, katanya, negara Eropah turut memberikan bayaran kepada petani yang mengekalkan habitat semula jadi di ladang mereka.Beliau berkata, kita juga perlu melindungi lebih banyak kawasan berhampiran tanah pertanian yang mengekalkan habitat asal kerana ia boleh bertindak meningkatkan produktiviti pertanian, selain menjadi kawasan tadahan hujan.Pelaksanaan kaedah pertanian yang mengurangkan pencemaran perlu diamalkan bagi mewujudkan pertanian ekologi.Sistem pertanian intensif melalui penggunaan racun serangga dan baja boleh meningkatkan hasil tetapi penggunaan yang berlebihan tanpa pengurusan cekap boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar melalui sisa penggunaan racun dan baja.Contohnya di Wilayah Yunnan, selatan China, petani berjaya mengurangkan penggunaan racun serangga melalui penanaman pelbagai jenis padi dalam satu kawasan yang boleh mengawal masalah penyakit.Kajian menunjukkan melalui kaedah itu membantu mencegah penyakit dan secara tidak langsung meningkatkan hasil sehingga 89 peratus.Peningkatan kaedah pengurusan sumber semula jadi juga membantu banyak spesies liar yang berbeza hidup. Contohnya kaedah pembalakan yang baik akan mencegah kerosakan dan meningkatkan pokok yang ada terus hidup. Pertanian berasaskan ekologi menyediakan garis panduan untuk membangunkan kepelbagaian kaedah yang memberikan kelebihan kepada kesan gabungan tumbuhan dan haiwan biodiversiti.Pertanian ekologi berupaya meningkatkan ekonomi dan mengekalkan agrosistem melalui sistem pengurusan yang selaras dengan keadaan alam sekitar dan sosio ekonomi.Dalam strategi pertanian berasaskan ekologi ini, komponen pengurusan mementingkan pengekalan dan perkembangan sumber pertanian seperti tanah, fauna, tumbuhan dan biodiversiti dengan menitikberatkan kaedah pembangunan yang menggalakkan petani turut bekerjasama menjalankan kegiatan pertanian yang selaras dengan keperluan sosio ekonomi dan keadaan alam sekitar.Peningkatan kesedaran di kalangan orang ramai dan masyarakat mengenai isu biodiversiti penting dengan setiap orang mempunyai tanggungjawab untuk menghormati kewujudan makhluk di dunia, di samping mengurangkan tindakan yang boleh merosakkan alam sekitar kerana setiap organisme mempunyai fungsi tersendiri dan saling berkait rapat dalam memastikan dunia ini terus sejahtera. Tidak salah jika masyarakat turut menghormati alam sekitar yang menyumbang kepada kesempurnaan kehidupan.Biodiversiti berpotensi untuk dimajukan, misalnya, tumbuh-tumbuhan dan mikro organisme jadi produk berguna seperti ubat-ubatan dan produk industri.Biodiversiti berfungsi penting dalam memastikan alam sekitar di sesebuah negara atau tempat itu terus stabil dan tidak tercemar.Contohnya, dengan adanya hutan yang dijaga baik, kita juga dapat memperoleh sumber air bersih di samping memastikan udara bersih dan suhu panas tidak meningkat secara mendadak.Biodiversiti yang diurus secara baik juga boleh mendatangkan pendapatan tinggi kepada negara. Sebagai contoh, hasil balak yang diuruskan secara mapan, ikan di laut yang terus boleh ditangkap oleh nelayan serta tumbuh-tumbuhan, mikro organisme yang berpotensi dijadikan bahan industri atau ubat-ubatan.Langkah pemuliharaan alam sekitar harus dijalankan dengan rasional dan pragmatik iaitu mengambil kira kemampuan dan juga kepentingan sesebuah negara.Tidak dinafikan negara perlu meningkatkan pembangunan demi kepentingan ekonomi tetapi khazanah alam semula jadi perlu dipulihara demi kepentingan bersama dan warisan untuk generasi akan datang

No comments: