Saturday, August 18, 2007

Kemusnahan hutan

KEMUSNAHAN AKIBAT KEGIATAN MANUSIA
Manusia memainkan peranan penting di dalam mempengaruhi evolusi flora dan fauna selain daripada merubah komponen ekosistem hutan di sepanjang hayatnya. Kadang-kadang kegiatannya mempunyai kesan yang sedikit, sementara adakalanya manusia juga menyebabkan perubahan besar dalam vegetasi brkayu, atau kehilangan seluruh litupan pokok. Namun tidak semua ubahsuaian tersebut membawa kemusnahan, tetapi masalah yang ditimbulkan sudah cukup kerap dan cukup serius untuk menimbulkan perasaan cemas akan pantasnya pembasmian hutan berlaku dan tahapnya yang berleluasa pada hari ini. Komponen ekosistem yang ternyata dipengaruhi oleh manusia ialah hakisan tanah yang terjadi akibat aktiviti-aktiviti pembalakan dan pertanian yang tidak terkawal. Hasil daripada hakisan tanah ini juga turut memusnahkan pelbagai spesies flora dan fauna selain daripada mengubah sistem aliran air di muka bumi. Pendedahan hutan kepada tindakan manusia telah juga mempengaruhi ciri-ciri hawa dalam ekosistem hutan. Pertambahan penduduk dengan sendirinya menuntut ruang-ruang hutan yang lebih luas untuk dieksploitasikan hinggalah mengubah sistem hidupan dan ekosistem hutan dan alam sekitar itu sendiri.
Walaupun hanya cuma segelintir manusia membawa pulang binatang-binatang liar pulang ke kediaman mereka, tetapi lebih ramai manusia membeli barangan yang diperbuat daripada binatang-binatang tersebut. Misalnya, pembuatan sebuah beg tangan atau sepasang kasut kulit mungkin telah mengorbankan binatang-binatang yang menghadapi kepupusan. Setiap barangan yang dijual menggalakkan lebih banyak lagi pembunuhan binatang dan pemusnahan tumbuhan hutan hingga mengakibatkan hilangnya nilai-nilai biodiversit hutan. Oleh itu, manusia berperanan dalam mempengaruhi kepelbagaian biologi dan perubahan yang terjadi terhadap haiwan, tumbuhan dan organisma-organisma mikro ‘biodiversity’ yang terdapat di hutan.
Di zaman moden ini, kecenderungan untuk menanam satu jenis tanaman di kawasan yang luas bererti menggalakkan kehadiran serangga perosak dan penyakit. Gejala-gejala ini boleh merebak dengan cepat ke atas spesies tanaman tunggal.
Terdapat berbagai-bagai lagi cara ubahsuaian yang dilakukan oleh manusia malah ubahsuaian hutan tropika masih terus berlaku. Contohnya, terdapat kumpulan manusia yang mencari rezeki semata-mata sebagai pemburu dan pemungut. Mereka memungut bahagian tumbuh-tumbuhan liar yang boleh dimakan dan menangkap haiwan liar. Biasanya kita membayangkan jumlah penduduk nomad ini tidak ramai dan mereka hanya mengambil sedikit sahaja bahan sehinggakan kesannya terhadap hutan hujan tropika adalah amat kecil dan boleh diabaikan. Bagaimanapun, bukti terkini menunjukkan bahawa sesetengah kumpulan telah mengakibatkan kepupusan beberapa spesies serta dapat menambahkan kehadiran spesies yang lain melalui pemilihan (Padoch & Vayda 1983).
Pertanian pindah merupakan sistem utama penggunaan tanah hutan yang diamalkan oleh petani di kawasan tropika. Oleh sebab amalan ini melibatkan penebangan dan kerap kali pembakaran hutan, diikuti oleh penanaman tanaman untuk beberapa tahun, jelas sekali kesan yang besar untuk jangka masa pendek akan dialami oleh hutan. Kesan jangka masa panjang sistem pertanian pindah yang stabil mungkin agak kecil, iaitu terutamanya daripada perubahan kekerapan spesies tumbuh-tumbuhan dan spesies haiwan (misalnya mungkin terdapat lebih sedikit pokok kecil yang lembut dan mudah terbakar dan lebih banyak pokok buah-buahan dan kelapa sawit).
Bagaimanapun, jika populasi manusia yang lebih ramai menyebabkan tempoh penanaman menjadi lebih panjang dan tempoh rang pula menjadi lebih singkat, sistem pembaikan semula jadi hutan tropika tidak lagi berupaya memulih semula kawasan untuk menjadi hutan biji benih. Oleh sebab hasil pertanian lazimnya berkurangan di bawah keadaan begini, sistem maklum balas yang positif dan pantas tertubuh, dan semakin banyak tanah memberikan hasil yang lebih rendah. Akhirnya, kawasan berkenaan mungkin ditinggalkan kerana tidak lagi mampu mengeluarkan hasil pertanian yang sewajarnya. Setiap tahun, kira-kira sejuta hektar bekas kawasan hutan tropika ditinggalkan oleh petani setelah kawasan merosot sepenuhnya.
Selain perubahan yang sebahagian besarnya tidak diingini ini, hutan tropika kian banyak digantikan dengan vegetasi lain secara sengaja. Di Dunia Baru terutamanya, jalur hutan yang luas terbentang telah ditukarkan menjadi padang rumput untuk menjadi padang ragut ternakan lembu. Di beberapa kawasan yang lebih subur dan tersalir bebas di Borneo, ladang yang dikuasai lalang Imperata lebih disukai kerana lebih mudah dibersihkan. Sementara itu, kawasan pedalaman yang lebih luas di kawasan pergunungan New Guinea terdapat ladang lalang yang sudah tua yang ditanam pada jeda-jeda tertentu.
Bagaimanapun, hutan yang telah terlalu banyak ditebang kerap ditukarkan sahaja menjadi ladang atau untuk kegunaan lain, walaupun terdapat minat yang bertambah dalam perhutanan yang disepadukan dengan pertanian. Perubahan yang lebih hebat mungkin berlaku pada masa depan disebabkan perkembangan dalam mekanisasi, dan dalam teknologi pulpa spesies campuran yang membolehkan keseluruhan hutan dituai dan batangnya ditukarkan menjadi kertas.
Kesan pembasmian hutan yang paling nyata adalah penyingkiran tanah secara menyeluruh oleh larian permukaan semasa hujan lebat. Lazimnya kejadian ini lebih dahsyat lagi di kawasan cerun-cerun curam. Kesan ini sering ditemui khususnya di kawasan yang keseluruhan pokoknya telah ditebang menggunakan jentera berat, misalnya di sepanjang jalan yang baru dibina, atau selepas vegetasi berulang kali ditebang seperti dalam amalan pertanian pindah yang diiringi kitar penanaman yang kerap atau berpanjangan. Satu lagi contoh ialah hutan yang dijadikan padang rumput dan kemudian ragutan yang berlebih-lebihan diamalkan lalu menyebabkan terbentuknya galur sehingga sedalam 120 meter dan selebar 2 km seperti yang dilaporkan berlaku di Afrika Barat (Okigbo 1977).
Perubahan fizikal lain yang penting pada tanah hutan turut berlaku di kawasan lapang, di samping pemindahan sebahagian atau keseluruhan tanah hutan. Perubahan ini amat bergantung pada kaedah pembersihan yang digunakan, khususnya jika melibatkan jentera berat. Perubahan ini termasuklah perubahan dalam keupayaan tanah untuk menyimpan air, saiz liang dan penembusan air dan akar, serta nisbah komponen yang berbeza saiznya.
Selain itu, lazimnya selepas pembakaran, secara kimia tanah akan menjadi lebih sesuai untuk pertumbuhan tanaman tetapi tidak lama kemudian menjadi kurang subur - misalnya disebabkan oleh larut lesap yang berlaku begitu pantas. Tambahan pula, pembakaran meruapkan sebahagian daripada nitrogen dan sulfur, serta karbon.
Kawasan di dalam hutan yang telah diubahsuai juga lebih mudah dirosakkan oleh angin, atau berupaya menyokong perebakan api semasa cuaca kering.
Pembasmian hutan yang berleluasa mungkin juga mengubah makro-iklim, malah juga akan mengurangkan jumlah jatuhan hutan bagi kawasan sejauh beribu-ribu kilometer dari kawasan hutan yang telah dibasmi itu.
Organisma hidup di dalam ekosistem hutan amat terjejas oleh perubahan guna tanah yang berbagai-bagai cara samada secara langsung atau tidak langsung. Contohnya, pembuangan atau kematian tunggul, biji benih dan organ perenial yang lain di dalam tanah akan mengurangkan bilangan spesies tumbuh-tumbuhan tertentu, sementara yang lainnya (termasuk rumpai yang mendatangkan masalah) menjadi dominan. Jika spesies pokok dibalak secara memilih, populasinya turut berkurangan dari segi kepelbagaian genetik dan perkadaran pokok yang mempunyai bentuk batang yang sesuai untuk perhutanan. Kehilangan pendebunga atau agen penyebar bermakna pokok berkenaan akan pupus. Degradasi fauna turut berlaku. Sesetengah vertebrat yang lebih besar begitu mudah pupus jika sumber makanannya dimusnahkan atau jika bahagian hutan yang tinggal terlalu kecil utuk menampung populasi yang sedang membiak. Spesies serangga yang dahulunya mengakibatkan kerosakan kecil mungkin bertukar menjadi perosak.
Jelaslah daripada rumusan bahawa perubahan pada hutan hujan tropika kerap menghasilkan perubahan fizikal, kimia dan biologi yang mempunyai kesan jangka panjang yang sememangnya akan mengurangkan keupayaan ekosistem untuk memenuhi keperluan manusia.

PENUTUP
Pada hakikatnya, sistem biologi yang berasaskan hutan adalah amat kompleks dan sukar difahami, begitu juga dengan keadaan hidup berbilion-bilion manusia yang bergantung sepenuhnya pada hutan. Ternyata kestabilan dan keseimbangan alam sekitar telah dipengaruhi oleh tindakan-tindakan manusia untuk menakluki kawasan-kawasan hutan melalui berbagai aktiviti seperti meneroka hutan untuk pertanian contohnya pertanian pindah oleh Orang-orang Asli, penebangan pokok yang tidak terancang, pembakaran dan lain-lain lagi. Walaupun beberapa aktiviti kadangkala bertujuan untuk membangunkan ekonomi tetapi adakalanya aktiviti-aktiviti tersebut merupakan pencabulan kawasan oleh manusia yang perlu dibendung melalui undang-undang. Hutan hujan tropika telah banyak membekalkan kita dengan spesies-spesies yang berguna terutamanya tumbuh-tumbuhan untuk makanan dan pertanian, perubatan, estetik dan industri-industri yang bersumberkan tumbuhan hutan. Seandainya hutan-hutan ini masih terus kekal, nescaya masih banyak lagi peluang yang mampu disumbangkan untuk kehidupan sejagat. Bak kata Christopher Colombus, "Kita tidak mewarisi dunia ini, tetapi kita cuma meminjamnya untuk anak-anak kita."

No comments: